Profil

Hasif Hamsyari (dua dari kanan) ketika menyampaikan petikan puisi daripada novel sulungnya, Bagaikan Mimpi kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia merangkap penaung Program Permata Pintar Negara sambil disaksikan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin (pertama dari kiri) dan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Datin Dr. Siti Rohayah Ariffin (berbaju merah jambu) serta panel yang lain.
==================================================

Pemilik nama pena Hasif Hamsyari iaitu Muhammad Hasif bin Mohd Jelani dilahirkan pada tanggal 2 Mac 1995 di Hospital Besar, Melaka. Mendapat pendidikan awalnya di SK Kampong Gelam dan SRA Jaim Kampung Gelam, Melaka dan kini beliau sedang menuntut di SMK Seri Tanjong, Melaka.

Minat menulis anak jati Melaka ini dipupuk sejak di usia dua belas tahun selepas minat membaca sudah sebati sepanjang usianya. Pun begitu, beliau melibatkan diri secara serius dalam arena penulisan tanah air semasa penghujung tahun 2007, selepas beliau menduduki UPSR. Sebelum itu, beliau telah menghasilkan sebuah naskhah novel namun kerana tidak yakin, beliau mencipta naskhah novel yang baru. Novel itu kemudiannya diterbitkan syarikat KarnaDya Solutions Sdn. Bhd. (KarnaDya) dengan judul Bagaikan Mimpi pada Mac 2009 ketika beliau berusia empat belas tahun sekali gus meletakkan Hasif Hamsyari sebagai antara novelis termuda di Malaysia dan novelis termuda di bawah KarnaDya.

Tunas Sastera ISMMA ini juga terlibat dalam penulisan puisi apabila antologi bersama pertamanya diterbitkan Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Lembaga Bahasa Melayu Melaka dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka. Antologi itu diterbitkan dengan judul Muara Pahlawan.

Pada Mac 2010, novel kedua beliau mula memasuki pasaran dengan judul Bagaikan Mimpi: Srikandi Cintaku. Masih lagi diterbitkan oleh KarnaDya Solutions. Novel ini merupakan kesinambungan daripada novel Bagaikan Mimpi.

Hasif (tiga dari kiri) bersama Sasterawan Melaka 2009, Mokhtar Yassin (tengah) dan penerima anugerah lain. (Gambar ini adalah sumber daripada akhbar)

Pada 3 Mac 2010, majlis pelancaran Bagaikan Mimpi: Srikandi Cintaku telah diadakan dengan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Haji Idris Haron yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi. Maklumbalas yang diberikan oleh beliau sangat menggalakkan.

Bakat dan usaha beliau memperoleh pengiktirafan  dan dorongan dalam beberapa majlis anugerah seperti di Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 anjuran Kerajaan Negeri Melaka pada Januari 2010. Hasif berjaya merangkul Hadiah Galakan Penulis Remaja Negeri Melaka 2009. Hadiah yang disampaikan oleh Datuk Wira Omar bin Kaseh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mewakili YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka bersaksikan TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

Hasif bergambar kenangan dengan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang turut hadir ke Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009.

Kejayaan lain sila KLIK SINI.

Hasif juga telah menjinakkan diri dalam penulis novel alam maya dengan percubaannya yang berjudul XARINE. Novel yang dilakukan secara bersiri di blog Rumah Fantasi ini boleh dibaca secara percuma dan dalam talian (online). Untuk baca bab prolog, klik sini.

Dalam bidang penulisan novel, anak jati Melaka ini bercita-cita untuk menjadi penulis versatil iaitu penulis yang mampu menghasilkan novel dalam pelbagai genre dengan baik dan berkesan di hati pembaca.

 Antara petikan akhbar (The Star, 29 Mei 2010)


Bakat anak muda ini pernah mencuri tumpuan media seperti Utusan Malaysia dengan tajuk artikel: Hasif bakal penulis prolifik versatil. Antara lain, kejayaannya mendapat Hadiah Galakan Penulis Muda di Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 pernah juga disiarkan di Sastera, Berita Harian dan Utusan Malaysia. Malah, momen bersejarah beliau ketika bertemu Datin Seri Rosmah Mansor dirakamkan oleh pelbagai media massa antaranya Berita Harian, Utusan Malaysia termasuklah akhbar berbahasa Inggeris seperti The New Straits Times dan The Star.

Hasif (paling kanan) ketika menjawab soalan Wardina disaksikan Datin Rosmah, para jemputan khas, para panel dan pelajar-pelajar.

Para panel (termasuk Hasif - dua dari kanan) bergambar kenangan bersama Datin Seri Rosmah Mansor, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin dan Prof Datin Dr. Siti Rohayah Ariffin. Turut kelihatan ialah presiden Persatuan Untuk Kanak-Kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM), Puan Zuhairah Ali (paling kanan) dan penulis buku merangkap pengacara majlis, Puan Wardina Safiyyah (dua dari kiri).
Beliau pernah diundang untuk menjadi panel jemputan Bual Bicara Program Permata Pintar Negara bersama YABhg. Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia yang juga penaung program Permata Pintar Negara. Beliau diajak berhujah di hadapan 500 orang pelajar dari sekolah-sekolah terpilih di Malaysia di dewan penuh berprestij, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia. Malah, beliau sempat menyampaikan petikan puisi daripada novel pertamanya, Bagaikan Mimpi kepada Datin Seri Rosmah. Klik sini untuk lihat album gambar sepanjang majlis itu berlangsung.

Hasif juga menyandang gelaran Novelis Remaja Pilihan 2010 di blog Urban Teen Writer (UTW). Undian dilakukan oleh pembaca dan penyokong Hasif. UTW merupakan sebuah laman blog yang mengikuti perkembangan novelis-novelis muda di Malaysia yang memulakan operasi pada pertengahan 2010. Justeru, Hasif merupakan penerima pertama untuk anugerah yang julung-julung kalinya diadakan ini.

Ketika laman khas dibuka diberi nama Kata Mereka Tentang Hasif untuk mengumpul pendapat atau komen masyarakat tentang Hasif, respons yang diberikan amat menggalakkan. Malah, penulis chick-lit popular Amerika, Laura Caldwell turut sudi memberikan pendapat. Untuk baca, klik sini.

Beliau tidak pernah mendapat bimbingan untuk menulis novel sebelum bergelar penulis melainkan bimbingan menulis puisi. Menurut beliau, minat menulis datang dengan sendiri setelah satu hari, beliau begitu teruja untuk berkongsi cerita dengan para pembaca. Justeru, impian agar beliau mempunyai buku karya sendiri disemai sebagai satu cita-cita yang teratas sekali. Anak muda ini juga bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya dan seorang doktor selain penulis berjaya. Selain menulis, hobi beliau di masa lapang ialah membaca, mendengar muzik dan melancong. 

Dengan menjadikan novelis-novelis berpengaruh dunia seperti Stephenie Meyer, JK Rowling dan Christopher Paolini sebagai idolanya, remaja berbintang Pisces ini berharap agar suatu hari nanti beliau mampu menjadi menjadi penulis muda yang berjaya dan cemerlang walaupun hanya di peringkat Malaysia sahaja.


Gambar-gambar di halaman ini adalah sumber daripada
- Koleksi Peribadi Hasif Hamsyari 
- Lensa Kampus UKM
- Akhbar